Saturday, May 12, 2012

Fenomena berbuka kini....


Berpuasa mendidik umat Islam supaya bersabar di dalam semua hal. 

Sabda Rasulullah S.A.W.,

"Puasa itu sebahagian daripada sabar, dan sabar itu sebahagian daripada iman."

Antara perkara yang menuntut kesabaran ialah ketika berbuka puasa. Sebahagian orang yang berpuasa, sepanjang hari dia hanya fikir pasal makan sahaja. Maka tidak hairanlah apabila melawat bazar Ramadhan, 
semua nak dibeli kalau ikutkan hati. Hal ini kerana nafsu makan ketika itu sedang tinggi, dan hanya akan menurun sesudah makan.

Pengusaha makanan tidak turut ketinggalan daripada mengambil kesempatan terhadap nafsu makan orang – orang yang berpuasa. Antaranya menganjurkan bazar – bazar Ramadhan, menjual kuih – muih 
dalam kuantiti yang banyak, dan membuat promosi berbuka di restoran –restoran ternama.

Kita melihat bazar Ramadhan sahaja sudah cukup untuk memberitahu kita bahawa umat Islam terlalu menurut hawa nafsu. Kalau dulu air limau itu berwarna jernih kekeruhan, maka pada bulan ramadhan, air 
laaici itu berwarna – warni. Turut dijual, sotong kering, ayam percik, ayam sembur, ayam bakar, ayam hangus, ayam golek, ayam M.G.M. (mati kena gelek motokar), dan macam – macam lagi. Antaranya 
yang memang susah kita nak jumpa kalau di luar Ramadhan.

Hotel – hotel juga turut membuat promosi yang berbunyi,

"PROMOSI BERBUKA PUASA SAJIAN ALA-WESTERN. DEWASA RM 50.00, KANAK – 
KANAK RM 25.00."

Ini bukan berbuka puasa namanya. Ini namanya menatakdarah. 

Melihat keadaan ini, maka seorang menteri telah membuat kenyataan beberapa tahun dahulu, bahawa dia mencadangkan supaya Ramadhan dijadikan bulan tarikan pelancong. Hakikatnya kerana pada masa 
inilah para pelancong boleh menikmati pelbagai aneka sajian Melayu. Betapa nafsu manusia itu sudah mencemar kesucian Ramadhan!!! Yang sepatutnya menjadi ibadah nak diperlihatkan pula kepada foreigners sebagai satu budaya Malaysia.

Hakikatnya berbuka puasa umpama minum petang. Biasanya kalau di luar bulan Ramadhan, kalau minum petang, biasanya seseorang itu akan menjamah makanan – makanan yang biasa seperti pisang goreng, apam balik sekeping dua, ataupun mi goreng sepiring.

Namun, kenapa kalau di bulan puasa, sesetengah orang menjamah makanan – makanan yang luar biasa? Kekadang menjamah makanan yang tidak pernah difikir akan kewujudannya di atas muka bumi ini. 
Contoh, ikan gulai tempoyak menjadi kambing gulai tempoyak.

Tidak hairanlah ada yang mengadu sakit perut sekali – sekala. Bukan kerana apa yang dimakannya, tetapi bagaimana dia makan.

Rasulullah S.A.W. mengajar kita apabila berbuka hendaklah dimulakan dengan memakan tamar dan meminum air segelas. Mungkin ada yang memikirkan kaedah ini sudah out-of-date. Mari kita kajikan sejenak.

Kita berpuasa sehari suntuk, dan sudah tentu badan kita kehilangan banyak tenaga. Tamar mengandungi kandungan gula yang tinggi, dan gula berperanan memberi tenaga kepada badan kita.

Ada kajian yang mengatakan bahawa gula di dalam tamar itu tidak memudharatkan pesakit kencing manis, malah berupaya merawat kencing manis. Betapa besarnya kuasa Allah S.W.T.!

Air yang diminum pula bertujuan menyingkirkan wap di dalam badan. Akan tetapi, sebahagian orang yang berpuasa, apabila masuk waktu berbuka, maka di mulakan dengan makanan – makanan yang berempah, pedas, atau tiada tanda – tanda manis, seperti karipap. 

Antara petua berbuka puasa, jangan mulakan dengan makanan yang pedas – pedas. Terkejut perut nanti. Seseorang itu harus berbuka dengan memakan secara berperingkat, seelok – eloknya memulakan 
dengan makanan yang cepat hadam. Dalam kes ini, ada ulama' yang menyatakan elok berbuka dengan sup, kerana sup itu cair dan cepat hadam. Hal ini kerana memandangkan sehari suntuk perut kita berehat, 
maka ianya akan mengambil masa untuk beroperasi pada tahap yang normal.

Hal ini sama seperti enjin kereta. Ketika mula – mula hidup pada awal pagi, atau selepas suatu masa yang tertentu, enjin itu haruslah digerakkan pada kadar kelajuan yang rendah sehingga suhu enjin mencapai tahap operasi biasa (normal operating condition). Kemudian barulah kelajuan boleh ditambah sedikit demi sedikit.

Jika ketika enjin masih sejuk, kita memaksanya dengan memandu pada kadar kelajuan yang tinggi, maka cepat rosaklah enjin tersebut, kerana minyak hitam masih belum sebati dan mencapai tahap kepekatan 
yang sesuai untuk mengurangkan geseran antara komponen – komponen enjin.

Seseorang juga tidak boleh bermain bola sepak tanpa terlebih dahulu memanaskan badan, kalau tidak akan berlaku kekejangan otot.

Demikian juga dengan berbuka puasa. Dalam keadaan sehari suntuk tidak beroperasi, tiba – tiba kena memproses makanan yang lambat hadam, atau yang berat – berat. Rosaklah perut.

Sewaktu konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia kira - kira 40 tahun yang lalu, tentera Indonesia kebuluran, dan selama dua tiga minggu tak makan. Apabila mendapat bekalan makanan, maka mereka 
memakan pada kadar satu periuk sekali harung. Selepas itu, mereka mati akibat sakit perut. Bukannya disebabkan oleh makanan tersebut, tetapi cara mereka memakannya.

Oleh itu saudara/i, sungguhpun kita kelaparan kerana berpuasa sehari suntuk, berbukalah dengan penuh kesabaran dan kesederhanaan. Janganlah menurut hawa nafsu semata – mata dan membazir. Ambil 
peluang di dalam bulan Ramadhan ini untuk belajar mengekang hawa nafsu. Sekiranya pada artikel ini terdapat unsur – unsur yang menyinggung perasaan, penulis memohon maaf.

from emel...

No comments: