Sunday, November 7, 2010

SOAL JAWAB - GANGGUAN KETIKA SOLAT~

Assalammualaikum...

Tertarik utk shared dengan mereka2 yang berjalan2 di blog saya... Di copy and paste melalui notes orang lain...

SOALAN: Bagi sesetengah orang, masalah yang saya hadapi sekarang ini mungkin begitu remeh, tetapi bagi saya ia merupakan suatu beban besar. Setiap kali masuk waktu sembahyang, lebih-lebih lagi sembahyang maghrib, dada saya akan berdebar-debar, badan menjadi berpeluh tidak menentu. Walaupun demikian saya tetap menggagahkan diri bersembahyang.

Kadang-kadang saya mengulangi bacaan al-Fatihah pada huruf tertentu. Saya rasa malu ketika berjemaah kerana membetulkan bacaan saya itu berulang kali. Saya sedar ia kadang-kadang menjadi gangguan orang di sebelah saya. Kerana itu saya lebih suka sembahyang bersendirian di rumah. Selain itu macam-macam ingatan yang telah berlalu datang menyelinap dalam ingatan ketika berjemaah. Adakah ini merupakan penyakit? Apa kaedah untuk mengatasi masalah ini?


JAWAPAN:

Setelah Allah sempurna menjadikan Adam, Allah perintahkan malaikat sujud. Mereka semua sujud, kecuali iblis, menyebabkan Allah murka, lalu melaknatnya, menghukumkannya kafir dan akan dimasukkan ke dalam neraka. Bermula daripada peristiwa itu, iblis menganggap Adam itu sebagai musuh, lalu berazam untuk menyesatkan Adam dan keturunannya.

Dalam Islam sembahyang yang dilakukan oleh seseorang itu boleh mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran. Atas alasan ini, iblis dan syaitan itu akan memperhebatkan seseorang itu supaya tidak mendirikan sembahyang atau mendirikan sembahyang tetapi dalam keadaan tidak sempurna, mengganggunya, seperti yang saudara alami. Inilah yang dinamakan ``waswas syaitan''.


Apabila seseorang itu berdiri mendirikan sembahyang, iblis sama berdiri, ikut orang itu sembahyang. Ikut rukuk ketika rukuk dan sebagainya. Ketika itu ia akan menyelinap dalam ingatan dan mendatangkan berbagai-bagai gambaran serta ingatan dalam fikiran contohnya diperingatkan kembali kerja-kerja yang belum sempurna, masalah yang sedang dihadapi, gambaran indah yang telah berlaku dan lain-lain lagi.


Ketika inilah iblis menggoda dan menipu dengan mendatangkan pelbagai ingatan terhadap peristiwa yang lalu, terutamanya yang baru berlaku, yang serius, seperti perbalahan di pejabat, hutang yang tidak dapat diselesaikan, kunci rumah yang hilang ataupun kejadian yang berlaku dalam perjalanan ke masjid, seperti kanak-kanak yang melintas jalan tidak menoleh ke kiri dan ke kanan dan menyebabkan hampir berlakunya perlanggaran.

Persoalan yang perlu ditimbulkan ialah, kenapa ingatan yang datang menyelinap itu berlaku ketika sedang bersembahyang, tidak berlaku ketika seseorang itu sedang minum, makan, memandu atau hendak tidur?

Hal demikian berlaku kerana sembahyang itu adalah antara faktor utama yang boleh mencegah pelakunya daripada melakukan kejahatan dan kemungkaran.

Andainya seseorang itu berupaya melakukan sembahyang dengan baik, sempurna penuh khusyuk dan diterima oleh Allah, pelakunya akan menjadi manusia yang baik.

Atas alasan inilah maka iblis itu datang untuk merosakkan sembahyang, tidak diterima Allah dan akhirnya menjadi sia-sia tidak boleh membentuk perilaku orang yang berkenaan.

Iblis pernah bersumpah di hadapan Allah, yang dia akan menipu manusia, menggoda dan menyesatkan kecuali mereka yang ikhlas di kalangan umat manusia. Ibadah sembahyang memerlukan konsentrasi dan pengamatan yang lebih dan menyeluruh berbanding dengan orang yang sedang makan dan minum atau hendak tidur iaitu pada rukun qauli (yang melibatkan perkataan) dan fi'liy (perlakuan). Oleh kerana itu khayalan atau ingatan seumpama itu tidak seharusnya terjadi ketika sembahyang, tetapi ia tetap terjadi. Hal demikian menunjukkan adanya gangguan ketika seseorang itu sedang sembahyang.

Godaan syaitan yang sering terjadi ketika seseorang itu bersembahyang ialah ketika berniat, iaitu dengan mendatangkan rasa waswas yang boleh menyebabkan seseorang itu membatalkan niatnya dan mengulanginya beberapa kali. Hal ini terjadi kerana dirasakan niat yang dibaca itu tidak serentak dengan lafaz ``Allahuakbar'' yang disebut di lidah.

Selain mengarahkan konsentrasi seseorang kepada pelbagai lintasan, gambaran dan khayalan, iblis juga menggoda manusia dengan mendatangkan keraguan dan ketidakpastian terhadap bacaan dalam sembahyang, terutamanya dalam bacaan al-Fatihah seperti yang saudara alami.


Ada beberapa tempat yang biasanya boleh terjadinya keraguan iaitu pada makhraj (tempat keluar huruf), huruf ha' pada kalimah ``al-hamdu,'' ``ar-rahim'' contohnya. Pada huruf kesamaran (huruf-huruf yang bunyinya hampir sama), seperti huruf ``qaf'' dengan huruf ``kaf'' pada kalimah ``ihdina `s-sirata `l-mustaqim'' dan sebagainya. Ketidakyakinan bacaan al-Fatihah juga boleh berlaku pada kalimah-kalimah yang ada padanya tasydid (sabdu), juga pada tanda huruf panjang dan pendek pada bacaan tertentu.

Keraguan-keraguan seperti ini menyebabkan seseorang itu akan menyebut kalimah-kalimah berkenaan berulang kali. Ada kalanya seseorang itu terpaksa memejam-mejamkan matanya sambil mengulangi kalimah-kalimah yang dirasakan belum sempurna bacaannya, padahal jemaah lain yang turut sembahyang dengannya telah pun sempurna melakukan rukuk.


Amalan mengulangi bacaan pada huruf-huruf tertentu berlaku akibat tiada keyakinan pada bacaan al-Fatihah. Oleh kerana itu, orang yang berkenaan perlu meminta pertolongan kepada orang yang arif tentang bacaan al-Quran. Pastikan bacaan yang diperdengarkan itu memuaskan hati orang yang berkenaan dan diperlakukan betul. Sekiranya bacaan itu tidak memuaskan, minta tolong daripadanya untuk menunjukkan bacaan-bacaan yang salah, kemudian pelajari semula dan diperdengarkan lagi di hadapannya sehingga semua bacaan itu betul.

Sekiranya keraguan itu tetap terjadi ketika sembahyang, seseorang itu hendaklah meneruskan bacaan, biarpun waswas terus berlaku, sama ada pada makhraj, pada panjang pendek bacaan ataupun lain-lainnya.
Tidak ada sebab kenapa al-Fatihah yang telah dibaca itu tidak betul, kerana ia telah diperdengarkan kepada orang yang arif berulang kali. Dengan berbuat demikian, rasa ragu itu akan hilang sedikit demi sedikit.


Sekiranya rasa ragu itu dilayan dan bacaan-bacaan itu terus diulang, rasa tidak yakin itu terus terjadi dan menebal. Dengan demikian, usaha untuk mendirikan sembahyang dengan penuh konsentrasi dan penghayatan itu akan menjadi sia-sia belaka. Ingatkan bahawa iblis dan syaitan itu memang sentiasa cuba berusaha merosakkan sembahyang seseorang.

Rasa waswas seperti ini adalah akibat gangguan iblis dan syaitan dalam usaha merosakkan ibadah manusia. Apabila keraguan itu timbul, seseorang itu akan lebih berusaha mengulanginya berulang kali, menyebabkan timbulnya rasa tidak yakin terhadap keseluruhan sembahyang.

Orang seperti inilah yang gagal memberi konsentrasinya kepada Allah yang disembah, kerana seluruh fikiran ketika itu digunakan untuk membetulkan bacaan berulang kali. Manusia pada lumrahnya hanya berupaya memberi satu konsentrasi pada satu masa. Jika seluruh fikiran dan konsentrasi yang dimiliki itu digunakan untuk membetulkan bacaan, pada huruf-huruf kesamaran, pada tasydid, pada panjang pendek huruf, tidak mungkin dia berupaya memberi tumpuan kepada Allah.

Ingat bahawa iblis dan syaitan itu sentiasa mendorong manusia melakukan kejahatan dan menahan manusia daripada melakukan kebaikan. Keturunan iblis dan syaitan yang dinamakan Thibr mengambil peranan khas untuk menggoda dan membisikkan pada manusia supaya melakukan kebinasaan, merobek dan mengoyak baju, menampar muka dan menjerit-jerit dengan teriakan seperti yang dilakukan oleh manusia pada zaman jahiliah apabila berlaku kematian.

A'war bertindak mendesak, menggoda dan mendorong manusia melakukan zina. Mabsut bertindak mendorong manusia agar sentiasa berdusta. Dasim pula sentiasa menggoda manusia supaya bersengketa dengan saudara- mara, yang menyebabkan berlakunya pergaduhan dalam keluarga, manakala Zalanbur pula sentiasa berlegar-legar di pasar, merangsang manusia agar melakukan penipuan, sentiasa menipu timbang, nilai barang, ingkar janji, menyorok barang untuk menaikkan harga dan sebagainya.


Imam Muslim dalam sahihnya daripada hadis Uthman bin Abdul Asy menyatakan: Aku telah bertanya kepada Rasulullah, sesungguhnya syaitan telah menghalangi antaraku dengan sembahyangku, mengelirukan sembahyangku. Rasulullah menjawab: Itu adalah perbuatan syaitan yang dinamakan khinzab.

Kerana itu, apabila engkau merasakan berlaku gangguan, engkau hendaklah berlindung kepada Allah daripada gangguannya dan tiup di sebelah kiri tiga kali. Aku telah melakukan apa yang disuruh oleh baginda. Maka Allah telah menghilangkan rasa waswas itu daripada sembahyangku.

Selain itu, gangguan iblis dan syaitan juga sering berlaku ketika seseorang itu sedang mengambil air sembahyang. Dalam sebuah hadis dijelaskan: Bagi wuduk itu ada satu kumpulan syaitan dinamakan al-Wilhan, maka berhati-hatilah.

Akibat daripada gangguan makhluk jenis ini, seseorang itu boleh terganggu akibat waswas yang menyelinap dalam dirinya, menyebabkan orang yang berkenaan mengulangi bacaan niatnya berkali-kali, membasuh anggota wuduk berkali-kali, terasa air tidak sampai pada kulit anggota wuduk, tidak tiba pada hujung dahi, tepi telinga dan sebagainya. Terasa juga air tidak sampai pada celah-celah kuku dan sebagainya. Semuanya itu berlaku akibat daripada waswas syaitan yang boleh menyebabkan seseorang itu mengambil wuduk hingga basah dan mengambil masa yang begitu lama.

Masalah waswas yang dijelaskan di atas ini berlaku pada semua orang. Bezanya ialah kadar waswas yang dihadapi. Sesetengah orang turut terjebak dengan mainan syaitan, tetapi kebanyakan orang berupaya mengatasinya dengan mudah.

Bagi mereka yang menghadapi masalah wuduk, orang yang berkenaan hendaklah faham dan sedar bahawa apa yang berlaku adalah akibat waswas syaitan, dan jangan mengulangi membasuh anggota wuduk lebih daripada tiga kali. Selagi seseorang itu mengulangi basuhan pada anggota wuduk, maka waswas yang dialami akan menjadi lebih hebat lalu akhirnya keadaan menjadi lebih gawat.

Bagi orang yang rasa berdebar-debar, tidak menentu dan menjadi bingung, terasa sedih dan ada kalanya lupa bacaan-bacaan yang selalunya diingati ketika sembahyang, orang yang seumpama ini sebenarnya mengalami waswas syaitan pada peringkat yang tinggi, bukan lagi seperti yang dialami oleh orang biasa. Besar kemungkinan ia mengalami gangguan iblis dan syaitan yang mengganggu rohnya.


P/S : m0ga2 kita terhindar dari gangguan ni, amin3...
baca ayat Kursi banyak2, insyaALLAH, b0leh dijadikan pendinding jugak..

wallahhuallam

Rencana oleh:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

2 comments:

  1. cahaya!!
    thankssss sgt!!
    i still have my problem tentang wudu'
    huhu..memg perlukan sgt artikel2 cmni
    thanks syg!!

    ReplyDelete

Biar pendapat kita beda..kerana dari situ kita cari cari titik temunya...=))